23 April 2011

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengharamkan poco-poco


SEPANG: Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, memutuskan masyarakat Islam di Malaysia boleh terus mengamalkan tarian poco-poco selagi tidak ber­­­ten­­tangan dengan ajaran Islam dan garis panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu 2007.

Sebelum ini, timbul keraguan apabila tarian poco-poco yang banyak diamalkan masyarakat di negara ini diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Katanya, jawatankuasa itu menghormati keputusan Perak mengharamkan poco-poco di negeri itu Januari lalu.

“Kita dimaklumkan poco-poco dibuat dengan pelbagai cara dan ada pandangan menyatakan ia baik untuk kesihatan.

“Bagaimanapun, kita nasihatkan umat Islam berhati-hati ketika mengamalkan sebarang tarian atau senaman termasuk poco-poco, jika tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan baik untuk kesihatan, kita tidak akan menghalang,” katanya pada sidang media, di sini.
Sejak Rabu lalu, beliau mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dihadiri hampir semua mufti seluruh negara di hotel terkemuka di sini. Hadir sama Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru, Othman Mustapha.

Ketika mengharamkan tarian itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memberi alasan ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan Kristian selain pemujaan roh seperti diamalkan di Jamaica.

Berikutan itu, Abdul Shukor berkata, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan akan menjalankan kajian terperinci bagi membolehkan mereka membuat keputusan muktamad mengenai keperluan pengharaman tarian terbabit.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata, muzakarah bersetuju dengan penggunaan vaksin Meningitis Mencevax (lama) dan Menvio (vaksin baru) untuk jemaah haji dan umrah Malaysia.

“Kita sudah meneliti pandangan dan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan serta pakar berkenaan. Masyarakat Islam di negara ini tidak perlu ragu-ragu, kita akan terus menggunakan vaksin itu dan kita benarkan,” katanya.

Mengenai penggunaan vaksin Meningitis Menvio, beliau berkata ia juga boleh digunakan tetapi pihaknya masih mengutamakan vaksin Meningitis Mencevax kerana ia sudah lama digunakan di Malaysia, malah kosnya juga lebih munasabah berbanding yang baru.

“Kita dapat tahu daripada rakan di negara jiran mengatakan vaksin Meningitis Menvio lebih baik tetapi selepas mendengar penjelasan mereka yang membuat audit didapati prosesnya sama, cuma Menvio untuk 11 tahun ke atas manakala Mencevax boleh digunakan dari usia dua tahun.

“Kesannya juga sama iaitu dua tahun, tak ada bukti saintifik menyatakan Menvio boleh bertahan sehingga tiga atau empat tahun. Oleh itu, kita menggalakkan pengguna menggunakan vaksin Meningitis Mencevax,” katanya. -sumber bharian

0 comments:

Post a Comment

 
Dibangunkan Oleh ohSensasi Webteam | Bloggerized by Ohsensasi.com